Tuesday, September 29, 2009

bicara dengan hati

Sambil menung2, pakngah makan kueh raya. Mula2 makan kacang, pastu kueh mazola... pastu kueh apo ntah (tak tau namo). Sambil pikir2 bila agaknya nak stat puasa enam nih... masa nak tidor rasa macam bersemangat. Bila menjelang pagi tu, macam pudar pulak semangat tuh. Kena pakat dengan makngah nampak gayanya nih. Tiba2 teringat kisah Imam al-Ghazali dengan murid2nya.

Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid2nya. Beliau bertanya murid2nya soalan yang pertama, "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?" Ada muridnya yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi jawapan yang paling benar ialah yang paling dekat dengan kita adalah 'mati'. Bila2 masa sahaja kita boleh mati, sama ada dengan sebab atau tanpa sebab. Sebagaimana janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran : 185)
Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua, "Apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia ini?" Murid2nya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang2.

Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar. Tetapi yang paling jauh adalah 'masa lalu'. Bagaimanapun usaha kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari-hari yang mendatang dengan perbuatan yang tidak merugikan.
Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga, "Apakah yang paling besar di dunia ini?" Murid2nya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari.

Semua jawapan itu benar kata Imam al-Ghazali. Tetapi yang paling besar di dunia ini adalah 'nafsu' (Al-A'raf : 179). Berhati2lah dengan nafsu. Jangan sampai nafsu menyeret kita ke neraka.
Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?" Ada yang menjawab batu, besi dan gajah.

Semua jawapan hampir benar, kata Imam al-Ghazali. Tetapi yang paling berat adalah 'amanah' (Al-Ahzab : 72). Pokok2, binatang, gunung, malah malaikat; semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga ramai yang dimasukkan ke neraka kerana tidak menunaikan amanahnya.
Pertanyaan yang kelima adalah "Apakah yang paling ringan di dunia ini?" Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun.

Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali.
Tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah 'solat'. Ramai yang leka / sibuk dengan kerja sehingga meringankan solat. Pertanyaan keenam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid2nya menjawab dengan serentak, pedang.

Benar kata Imam al-Ghazali.
Tetapi yang paling tajam adalah 'lidah manusia'. Sebab dengan lidah, manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya.

Itulah dia... suruh puasa pun pakngah dah rasa berat. Belum suruh perang. Allahuakbar!
Buatnya kejap lagi mati?? Wahai hati, ingatlah...

Read more...

Wednesday, September 9, 2009

mata yang menangis

Pernah diceritakan mengenai seorang lelaki yang telah jatuh hati kepada seorang wanita. Suatu ketika wanita itu keluar untuk satu keperluan, maka lelaki itu turut pergi bersamanya. Mereka telah sampai di satu kampung yang sunyi sepi kerana penghuninya telah pun tidur. Lalu, lelaki itu pun menyampaikan hasrat hatinya. Wanita itu menyahut, “Lihatlah sama ada orang kampung telah tidur semuanya?”
Lelaki itu beranggapan bahawa wanita itu bermaksud bahawa wanita itu bersetuju untuk menuruti kehendak hatinya. Dia pun mengelilingi kawasan sekitar untuk melihat sama ada semua orang telah tidur atau tidak. Setelah jelas bahawa semua orang telah tidur, segera dia menghampiri wanita tersebut seraya berkata, “Benar, semua orang telah pun tidur.”
Lalu wanita tersebut bertanya, “Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah? Apakah saat ini Dia juga telah tidur?”
Dan lelaki itu pun menjawab, “Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur.”
Wanita itu pun berkata, “Sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun manusia sedang tidur lelap dan tidak melihat kita. Oleh itu Dia lebih berhak untuk ditakuti.”
Dengan segera dia meninggalkan wanita itu kerana dia takut aakan Allah. Dia telah pulang ke rumahnya dan bertaubat. Setelah dia meninggal dunia, ada orang telah bermimpi bertemu dengannya.
Lalu ditanya, “Apakah yang telah Allah lakukan kepadamu?”
Lelaki itu menjawab, “Allah telah mengampuniku kerana ketakutanku dan kerana aku meninggalkan dosa itu.”


Rasulullah saw bersabda, “Ketika tubuh seorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, berguguranlah dosanya bagaikan dedaunan yang jatuh dari pohonnya. Sesungguhnya Allah berkata: Aku tidak mengumpulkan pada hamba-Ku dua ketakutan dan dua keamanan. Sesiapa yang takut kepada-Ku di dunia, Aku amankan dia di akhirat. Dan sesiapa yang berasa aman daripada-Ku di dunia, Aku akan takutkan dia di akhirat.”

Disebut dalam kitab Bidayatul Hidayah, pada hari qiamat akan didatangkan api yang bergemuruh hingga menggetarkan hati setiap ummah. Semakin mendekatinya, gemuruh tersebut menjadi semakin kuat dan dapat didengar dari jarak perjalanan sejauh 500 tahun. Setiap orang menghampiri para nabi namun para nabi berkata, "Nafsi-nafsi (sendiri-sendiri)"; kecuali Rasulullah saw yang sering kau lupai. Baginda berkata, “Umatku-umatku.”
Kemudian keluarlah api bagaikan gunung. Umat Nabi Muhammad saw berusaha untuk menolaknya sambil berkata, “Demi orang-orang yang bersolat, demi orang-orang yang siddiq, demi orang yang khusyu’ dan demi orang-orang yang berpuasa; kembalilah engkau wahai api!”
Malangnya, api itu tidak juga kembali. Maka, berkatalah Jibril as, "Sesungguhnya api hendak membakar umat Muhammad.” Lalu ia datang sambil membawa segelas air sambil berkata lagi, “Ambillah air ini dan percikkan ke api itu!” Rasulullah saw mengambil air tersebut dan dipercikkan ke api. Seketika kemudian api itu pun padam.
Lalu Nabi Muhammad saw bertanya, “Air apakah ini?” Jibril menjawab, “Itulah air mata umatmu yang menangis kerana takut akan Allah dan sekarang aku diperintahkan untuk memberikan air itu kepadamu supaya engkau memercikkannya ke api sehingga padam dengan izin Allah.”

Rasulullah saw seringkali berdoa, “Ya Allah, berilah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada-Mu sebelum air mata ini habis.”

Read more...

Tuesday, September 1, 2009

pemburu malam

Bangun pada malam hari khususnya pada 1/3 malam menjelang subuh, tatkala mata sedang sangat kelat, bukan kerja mudah. Apatah lagi untuk bangun beribadah. Pengalaman ini pernah dialami oleh seseorang yang kemudian bertanya kepada Hasan, “Hai Abu Sa'id, sesungguhnya saya melalui malam dalam keadaan segar bugar, dan saya juga telah menyediakan air untuk berwudhu'. Tetapi mengapa saya sukar bangun daripada tidur?” Jawab Hasan, “Dosa-dosa kamulah yang telah mengekangmu.”

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menjelaskan, “Banyak daripada makanan yang menghalangi bangun malam dan banyak daripada pandangan yang menghalangi untuk membaca surah.” Tambah Hujjatul Islam itu lagi, “Makanan yang haram dan pandangan yang haram boleh menjadi punca sukar untuk bangun malam.”

Beberapa catatan adab di bawah ini barangkali boleh membantu memudahkan kita bangun dan istiqamah dalam usaha memburu malam khususnya malam Ramadhan yang sedang kita lalui ini:

1. Keinginan yang Kuat
Bila ingin solat malam, tumbuhkan keinginan yang kuat (niat) dari dalam diri untuk bangun, sebelum menuju pembaringan. Peliharalah niat itu dan kuatkan kembali hingga mata terpejam. Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang hendak tidur lalu dia berniat untuk bangun solat tahajjud, kemudian tidur hingga pagi hari, maka dicatatnya niatnya itu sebagai satu pahala, sedang tidurnya itu dianggap sebagai kurnia daripada Allah yang diberikan padanya.” (Riwayat al-Nasa'i dan ibn Majah dengan sanad yang sah).

2. Putuskan Mimpi dan Melihat Langit
Apabila sudah terjaga, jangan berikan kesempatan kepada syaitan / nafsu untuk menghalangi kita dengan menelusuri mimpi-mimpi yang baru saja dialami. “Putuskanlah mimpi-mimpi seperti itu dan bergegaslah meninggalkan pembaringan,” pesan Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Pak Hamka). Sebelum menunaikan solat disunatkan keluar melihat langit dan bintang-bintang sambil berdoa sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah saw, “Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, aku mohon keampunan-Mu dan aku mohon rahmat-Mu. Ya Allah tambahlah pengetahuanku dan janganlah Engkau palingkan hatiku, sesudah Engkau beri hidayah padaku. Berikanlah rahmat dari sisi-Mu kerana Engkau Maha Pemberi. Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku kembali sesudah mematikanku dan pada-Nya pula tempat kembali.”

3. Mula dengan yang Ringan
Sebaik-baiknya solat malam dimulai dengan mengerjakan dua rakaat yang ringan, selanjutnya kerjakan sesuka hati. Daripada Aisyah katanya, “Rasulullah saw apabila bangun malam untuk solat, baginda memulainya dengan dua rakaat yang ringan.” Begitu juga dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah, baginda saw bersabda, “Apabila seseorang antaramu bangun malam, maka hendaklah memulai solatnya dengan dua rakaat yang ringan.”

4. Bangunkan Keluarga
Apabila sudah bangun, jangan lupa untuk membangunkan juga ahli keluarga. Rasulullah saw pernah membangunkan Ali bin Abi Talib, untuk solat malam seperti yang tercatat dalam sebuah hadith daripada Saidina Ali ra, “Bahawa Rasulullah saw pada satu malam mengetuk pintu rumahnya. Waktu itu dia sedang tidur bersama Fatimah, isterinya. Baginda saw bersabda: Apakah engkau berdua tidak bangun untuk solat?” Dalam hadith yang lain daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, “Allah memberikan rahmat kepada lelaki yang bangun malam untuk solat lalu membangunkan pula isterinya dan apabila isterinya itu menolak lalu dia memercikkan air di mukanya. Allah juga memberikan rahmat-Nya kepada seorang wanita yang bangun malam untuk solat lalu membangunkan pula suaminya dan apabila suaminya menolak lalu dia percikkan air di mukanya.”

Selain itu, perkara yang sebaik-baiknya dilakukan agar kita mudah bangun malam menurut Imam al-Ghazali antara lain adalah --- tidak terlalu banyak makan dan minum, kurangkan kegiatan yang mengundang rasa letih baik fizikal mahupun rohani, ambil waktu sebentar pada siang hari menjelang solat Zuhur untuk qailullah (tidur sejenak) dan yang terakhir, tinggalkan kegiatan mengandung dosa kerana hal itu mengundang kerasnya hati, rasa malas dan memutuskan rahmat-Nya.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP