Tuesday, September 1, 2009

pemburu malam

Bangun pada malam hari khususnya pada 1/3 malam menjelang subuh, tatkala mata sedang sangat kelat, bukan kerja mudah. Apatah lagi untuk bangun beribadah. Pengalaman ini pernah dialami oleh seseorang yang kemudian bertanya kepada Hasan, “Hai Abu Sa'id, sesungguhnya saya melalui malam dalam keadaan segar bugar, dan saya juga telah menyediakan air untuk berwudhu'. Tetapi mengapa saya sukar bangun daripada tidur?” Jawab Hasan, “Dosa-dosa kamulah yang telah mengekangmu.”

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menjelaskan, “Banyak daripada makanan yang menghalangi bangun malam dan banyak daripada pandangan yang menghalangi untuk membaca surah.” Tambah Hujjatul Islam itu lagi, “Makanan yang haram dan pandangan yang haram boleh menjadi punca sukar untuk bangun malam.”

Beberapa catatan adab di bawah ini barangkali boleh membantu memudahkan kita bangun dan istiqamah dalam usaha memburu malam khususnya malam Ramadhan yang sedang kita lalui ini:

1. Keinginan yang Kuat
Bila ingin solat malam, tumbuhkan keinginan yang kuat (niat) dari dalam diri untuk bangun, sebelum menuju pembaringan. Peliharalah niat itu dan kuatkan kembali hingga mata terpejam. Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang hendak tidur lalu dia berniat untuk bangun solat tahajjud, kemudian tidur hingga pagi hari, maka dicatatnya niatnya itu sebagai satu pahala, sedang tidurnya itu dianggap sebagai kurnia daripada Allah yang diberikan padanya.” (Riwayat al-Nasa'i dan ibn Majah dengan sanad yang sah).

2. Putuskan Mimpi dan Melihat Langit
Apabila sudah terjaga, jangan berikan kesempatan kepada syaitan / nafsu untuk menghalangi kita dengan menelusuri mimpi-mimpi yang baru saja dialami. “Putuskanlah mimpi-mimpi seperti itu dan bergegaslah meninggalkan pembaringan,” pesan Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Pak Hamka). Sebelum menunaikan solat disunatkan keluar melihat langit dan bintang-bintang sambil berdoa sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah saw, “Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, aku mohon keampunan-Mu dan aku mohon rahmat-Mu. Ya Allah tambahlah pengetahuanku dan janganlah Engkau palingkan hatiku, sesudah Engkau beri hidayah padaku. Berikanlah rahmat dari sisi-Mu kerana Engkau Maha Pemberi. Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku kembali sesudah mematikanku dan pada-Nya pula tempat kembali.”

3. Mula dengan yang Ringan
Sebaik-baiknya solat malam dimulai dengan mengerjakan dua rakaat yang ringan, selanjutnya kerjakan sesuka hati. Daripada Aisyah katanya, “Rasulullah saw apabila bangun malam untuk solat, baginda memulainya dengan dua rakaat yang ringan.” Begitu juga dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah, baginda saw bersabda, “Apabila seseorang antaramu bangun malam, maka hendaklah memulai solatnya dengan dua rakaat yang ringan.”

4. Bangunkan Keluarga
Apabila sudah bangun, jangan lupa untuk membangunkan juga ahli keluarga. Rasulullah saw pernah membangunkan Ali bin Abi Talib, untuk solat malam seperti yang tercatat dalam sebuah hadith daripada Saidina Ali ra, “Bahawa Rasulullah saw pada satu malam mengetuk pintu rumahnya. Waktu itu dia sedang tidur bersama Fatimah, isterinya. Baginda saw bersabda: Apakah engkau berdua tidak bangun untuk solat?” Dalam hadith yang lain daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, “Allah memberikan rahmat kepada lelaki yang bangun malam untuk solat lalu membangunkan pula isterinya dan apabila isterinya itu menolak lalu dia memercikkan air di mukanya. Allah juga memberikan rahmat-Nya kepada seorang wanita yang bangun malam untuk solat lalu membangunkan pula suaminya dan apabila suaminya menolak lalu dia percikkan air di mukanya.”

Selain itu, perkara yang sebaik-baiknya dilakukan agar kita mudah bangun malam menurut Imam al-Ghazali antara lain adalah --- tidak terlalu banyak makan dan minum, kurangkan kegiatan yang mengundang rasa letih baik fizikal mahupun rohani, ambil waktu sebentar pada siang hari menjelang solat Zuhur untuk qailullah (tidur sejenak) dan yang terakhir, tinggalkan kegiatan mengandung dosa kerana hal itu mengundang kerasnya hati, rasa malas dan memutuskan rahmat-Nya.

2 komen:

abah aman September 3, 2009 at 2:20 AM  

Salam pakngah,
Jadilah pemburu malam... jangan sampai asyik dok memburu mimpi manjang.

azmietaha September 15, 2009 at 9:21 PM  

Dah sezen-sezen ni jangan kan mimpi tidur je terus lolap...sodar-sodar dah coghah. Alahai malangnya diri dan alahai malangnya tidur kiranya tidur itu tidur yang panjang tanpa sempat menghela satu nafas pada Yang Esa. Ngantuk sampai tak sempat Bismillah itu kira dah paghah bonar tu ... Tak gitu Pak Ngah?
Heeee!

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP